Oleh: Kumaran Rajamoney
JITRA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung yang terkandas di kediamannya di Malau, akibat banjir.
Norshuhaida Ramli dari Kampung Kota Mengkuang dijadualkan bersalin anak sulungnya esok.
Suaminya, Mohd Fitri Hamzah memaklumkan isterinya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah sebagai langkah awal, bagi mengelak sebarang kesulitan.
“Isteri saya sememangnya dijadualkan bersalin esok. Dia dinasihatkan untuk daftar masuk ke wad hari ini untuk dijalankan pemantauan.
“Pihak bomba telah membantu mengeluarkan kami dari lokasi rumah yang dinaiki air menggunakan kenderaan pacuan empat roda, sebelum dipindahkan ke dalam ambulans yang membawanya,” katanya.
Di daerah Pokok Sena pula, jumlah mangsa paling ramai direkodkan dengan lebih 1,000 mangsa, dari 173 keluarga setakat awal pagi tadi.
Majoriti mangsa banjir dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Maahad Tarbiah Islamiyah Derang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau.
Tinjauan mendapati jalan di Kampung Derang dinaiki air sehingga menyebabkan kenderaan ringan tidak dapat melalui kawasan itu.
Wan Azwari Wan Mohamaed yang sedang melawat anaknya antara mangsa, apabila kenderaannya terkandas ketika cuba melalui jalan berkenaan.
“Saya tinggal di sebuah inap desa di sini dan dimaklumkan oleh anak yang mereka diarahkan berpindah. Jadi, tadi saya cuba bawa sedikit bekal makanan sebelum mereka berpindah.
“Bagaimanapun ketika cuba meredah air, kenderaan kami terkandas,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Roziati Ishak berkata, kejadian banjir kali ini antara yang terburuk apabila rumahnya dimasuki air hampir satu meter.
“Air mula naik sekitar jam lapan malam tadi dan menjelang empat pagi kami terpaksa keluar. Kami sempat menyelamatkan barang-barang yang ada di bawah.
“Setakat ini saya belum buat keputusan sama ada untuk berpindah ke PPS atau tinggal di rumah saudara terdekat,” katanya kepada Buletin TV3.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.