Oleh: Aslina Abu Bakar
SEPANG: Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencatat pencapaian cemerlang apabila merangkul 18 pingat emas dalam Kejohanan World Police dan Fire Games 2023 di Winnipeg, Kanada (WPFG2023) yang berlangsung pada dari 28 Julai hingga 6 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kejayaan itu melebihi jangkaan awal iaitu 15 emas yang disasarkan selain turut menunjuk peningkatan jumlah pingat keseluruhan iaitu sebanyak 49 pingat.
Jelasnya kontinjen JBPM juga turut meraih 19 pingat perak dan 12 pingat gangsa.
“Kejayaan kontinjen JBPM amat membanggakan, hasil daripada disiplin dan semangat juang tinggi yang dipamerkan mereka sepanjang kejohanan berjaya melonjakkan prestasi dan pencapaian mereka dalam acara yang disertai.
“Pada temasya tahun ini seramai 38 atlet dan pegawai telahpun menyertai lima daripada 54 acara yang dipertandingkan dalam kejohanan yang memasuki edisi penganjuran ke-15 itu.
“Acara tenpin boling menyaksikan pencapaian terbaik JBPM apabila pasukan berjaya merangkul 9 emas dalam acara berkenaan. Manakala untuk 5 lagi emas sumbangan daripada acara dart, golf 3 emas, sementara acara push pull and bench press menyumbang 1 emas,” katanya kepada media ketika Majlis Sambutan Kepulangan Kontinjen JBPM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata JBPM juga akan memberikan insentif kepada atlet yang terlibat dalam satu majlis khas yang akan diadakan.
“Ia adalah sebagai salah satu suntikan semangat kepada mereka dalam menyemarakkan lagi semangat sukan dalam kalangan anggota dan pegawai bomba di Malaysia.
“ Di samping menyertai kejohanan, kami juga membawa ahli jawatankuasa untuk menilai kejohanan dan sukan yang sesuai untuk disertai oleh pasukan kami pada masa akan datang,” katanya.