Tumpuan :
Nasional

JBPM beku cuti 6,000 pegawai, anggota di 5 negeri

Datuk Nor Hisham Mohammad di sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Sains Kebombaan Siri 1 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.- FOTO: NSTP

MARANG: Cuti kira-kira 6,000 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lima negeri akan dibekukan sekiranya bencana banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini berlaku pada tahap yang kritikal.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, arahan melibatkan petugas di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak berikutan amaran enam siri hujan lebat dan air pasang di negeri-negeri berkenaan pada 27-28 November dan 15-17 Disember.

Beliau berkata setakat ini cuti dihadkan kepada 20 peratus daripada keseluruhan anggota serta pegawai dengan arahan telah dikeluarkan kepada pengarah JBPM negeri untuk bersiap sedia membekukan cuti petugas jika banjir terjadi di luar keupayaan di samping siri hujan lebat tahap merah.

“Kebimbangan kita hujan lebat berlaku di kawasan yang dah tepu air…maksudnya air dah penuh disebabkan banjir gelombang pertama,” katanya selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Sains Kebombaan Siri 1 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai di sini hari ini.

Nor Hisham berkata pihaknya telah mengaktifkan pangkalan hadapan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Johor sebagai persediaan menghadapi bencana berkenaan.

“Tahun lepas kita wujudkan pengkalan hadapan di tiga lokasi termasuk satu di Pulau Pinang, tetapi kali ini kawasan Pantai Barat dijangkakan tidak kritikal seperti di Pantai Timur,” katanya.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 22 Pasukan Gerak Cepat telah dibentuk di seluruh negara dan pasukan itu dilengkapi pelbagai aset yang akan diatur gerak dalam tempoh singkat bagi membantu balai di lokasi bencana banjir.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini