comscore
Tumpuan :
Nasional

JBPM Sarawak perlu ganti aset K9, bantu perkasa perkhidmatan

SERIAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak perlu mengganti semua aset dari unit K9 jabatan itu tahun ini bagi memperkasakan perkhidmatan unit berkenaan.

Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini, berkata penggantian aset berkenaan amat diperlukan kerana aset K9 sedia ada sudah mencapai tempoh had masa perkhidmatannya.

“Kita sudah buat penilaian aset dan amat kritikal untuk tahun ini perlu ada penggantian kepada aset-aset terbabit kerana aset itu kita beli ketika ia masih kecil lagi pada tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas upacara pengebumian anjing Unit K9 JBPM Sarawak, Cliff (Cadever) di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian di sini.

Faktor terbabit jelas Khirudin akan mengakibatkan keberkesanan anjing-anjing berkenaan untuk melaksanakan tugasan mengikut keperluan turut berkurangan.

“Memang kena semua sekali sebab tempoh masa mereka dah hampir tujuh tahun dan anjing ni kalau sudah tujuh tahun maka tahun hadapan akan menjadi tahun kritikal untuk anjing-anjing ini.

“Anjing-anjing ini boleh efektif untuk lapan tahun maksimum yang mana lapan tahun kali dengan tujuh (jumlah umur anjing untuk tempoh setahun) akan bersamaan dengan 56 tahun, umur anjing terbabit dan ini sudah cukup berumur untuk anjing berkenaan.” katanya.

Khirudin berkata,kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi tujuan penggantian semua aset Unit K9 JBPM diseluruh negara termasuk enam anjing unit berkenaan di Sarawak.

Katanya, JBPM Sarawak ketika ini masih memiliki lima anjing membabitkan tiga displin perkhidmatan iaitu, Forensik Kebakaran, Pengesanan Mayat atau Cadever dan Pengesanan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan hutan.

Bagaimanapun jelas beliau, kesemua anjing terbabit sudah berusia tujuh tahun iaitu had maksimum keberkesanan fungsinya dan ia perlu diganti bagi memperkasakan perkhidmatan unit berkenaan.

Loading...
Terkini