comscore
Tumpuan :
Nasional

JBPM sedia peruntukan lebih RM2 juta, perkasa Pasukan Bomba Sukarela tahun ini 

 

Foto: JBPM

KUALA LANGAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan peruntukan geran bantuan kewangan RM2.593 juta kepada 367 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, daripada jumlah keseluruhan itu sebanyak RM1,101,000 juta pemberian geran bantuan, RM1.492 juta untuk peralatan, kelengkapan set perlindungan peribadi (PPE) dan insurans.

Beliau berkata, jabatan itu menyediakan sebanyak RM567,500 bagi pembekalan kelengkapan PPE, manakala RM375,000 peruntukan bagi pembelian Pos Kawalan Bomba untuk PBS seluruh negara.

“Ini hasrat JBPM untuk memperkasakan PBS serta menambah jumlah keahlian serta pasukan pada tahun ini.

“Peruntukan ini antara strategi yang akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran pemerkasaan tahun ini,” katanya pada Program Santai YAS Ketua Pengarah Bersama PBS Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Tanjung Sepat, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga memperuntukkan caruman insurans sebanyak RM550,000 setahun kepada setiap anggota PBS.

“Perlindungan insurans kelompok secara percuma sepanjang tahun yang membabitkan kecederaan, kemalangan atau kematian kepada anggota,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif lain bagi memperkasakan PBS adalah penyusunan program pengagihan jentera Volunteer Fire Response Vehicle (VFRV) secara berperingkat kepada PBS mengikut keutamaan.

“Begitu juga pelaksanaan tanda aras (benchmark) pengurusan PBS yang terbaik tahunan dan permohonan peruntukan geran tambahan,” katanya.

Tambahnya, sehingga Disember tahun lalu, PBS mempunyai 367 pasukan dan tahun ini pihaknya menyasarkan terdapat 374 pasukan itu di seluruh negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini