comscore
Tumpuan :
Nasional

JBPM tempatkan aset jentera di 14 lokasi strategik di 8 negeri

FOTO: JBPM / Facebook

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 lokasi strategik di sepanjang jajaran lebuh raya utama membabitkan lapan negeri dikenal pasti dan ditetapkan untuk penempatan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aset jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, lapan negeri berkenaan ialah Selangor, Johor, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Sepanjang musim perayaan tahun ini, pihaknya akan memfokuskan kepada keselamatan dan pencegahan kebakaran melalui pemeriksaan dan aktiviti menghapus bahaya kebakaran di premis, keselamatan aktiviti air serta pencegahan kemalangan jalan raya melalui Ops Bersepadu (Ops Selamat) di bawah seliaan PDRM.

FOTO: JBPM / Facebook

“Bermula 7 hingga 13 Februari ini, JBPM sudah mengeluarkan surat arahan kepada semua JBPM negeri yang terbabit untuk bersiap siaga bagi menempatkan pasukan dan aset-aset jabatan di lokasi yang ditetapkan PDRM sebagai persediaan menghadapi sebarang kes berkait kemalangan jalan raya.

“Justeru tahun ini, JBPM merangka strategi yang komprehensif dengan penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran di bangunan atau premis yang menjadi tumpuan sewaktu musim perayaan seperti pusat membeli belah, hotel, chalet, pusat peranginan dan rumah tumpangan dipertingkatkan.

“Sebagai persediaan membabitkan keselamatan aktiviti di badan air pula, JBPM melalui Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) akan terus mempergiatkan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi kempen kesedaran, rondaan berkala di kawasan ‘hot spot’ risiko lemas dan pemasangan papan tanda amaran serta tip keselamatan juga akan dilaksanakan dengan lebih agresif,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Dan Kempen Keselamatan Sempena Tahun Baru Cina 2024,  hari ini.

Program yang dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming itu bertujuan menyusun strategi awal persediaan dan kesiapsiagaan JBPM untuk menghadapi insiden-insiden kecemasan yang mungkin berlaku di sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini.

Statistik JBPM pada tahun lalu menunjukkan sebanyak 34,389 kes panggilan kebakaran diterima dan diambil tindakan yang menyebabkan kerugian harta benda berjumlah RM2.6 billion.

Sepanjang tempoh Ops Tahun Baharu Cina 2023, sebanyak 747 kes kebakaran direkodkan dan 132 (17 peratus) daripadanya adalah kebakaran membabitkan bangunan.

Loading...
Terkini