Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 6 peralatan termasuk sebuah kenderaan bagi mengesan kebocoran gas beracun, bahan kimia dan tumpahan bahan merbahaya dari jarak jauh.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kesemua perolehan aset bernilai RM10.2 juta itu adalah satu keperluan mendesak susulan insiden kebocoran dan pencemaran bahan kimia dalam negara meningkat saban tahun.
Datuk Seri Abdul Wahab berkata, kenderaan dikenali ‘Long Range Detector Vehicle’ yang dipasang dengan ‘Scanning Infrared Gas Imaging System’ dan dilengkapi peralatan lain itu boleh mengesan kebocoran gas dan bahan kimia sejauh 7 kilometer.
“Sebelum ini ada peralatan asas kesan gas-gas dan bahan kimia ia menggunakan teknologi terdahulu dan sebahagiannya telah obsolete jadi dengan alat yang canggih ni ia lebih cepat, tak perlu lagi ambil sampel, pergi dekat kerana long range boleh kesan jarak 7 kilometer pun dah boleh kesan”
Beliau ditemui selepas Perhimpunan Bulanan JBPM di Putrajaya yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.
Datuk Seri Abdul Wahab berkata, dengan adanya teknologi baharu ini, evakuasi penduduk setempat dapat dilakukan dengan lebih cepat sebaik peralatan berkenaan mengesan jenis pencemaran yang berlaku.
Sementara itu, Datuk Khairul Shahril berkata, kenderaan pengesan ini juga sebagai persiapan kepada Unit HAZMAT bomba dan agensi penyelamatan lain mendepani risiko pencemaran gas dan kimia ekoran pertambahan kilang-kilang yang menggunakan bahan merbahaya dalam pengoperasian mereka.
“Mengikut kajian dan keperluan pasukan bomba ianya masih tidak mencukupi kerana situasi sentiasa berubah dari segi industri, keadaan industri pun berubah dari segi kimia-kimia yg digunakan sentiasa berubah jadi ianya satu perkara yang sentiasa berubah dan memang kita sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan memastikan kelengkapan mencukupi untuk mengatasi situasi”
Pada majlis sama, turut diadakan acara simbolik penyerahan kenderaan dan peralatan pengesan dari NADMA kepada JBPM.
Sementara itu, Datuk Seri Abdul Wahab menyasarkan JBPM akan mewujudkan sebuah universiti awam yang mempunyai pengkhususan dalam bidang pengajian kebombaan dan penyelamatan dalam tempoh lima tahun.
Beliau berkata pihaknya sedang berusaha ke arah itu melalui institusi latihan jabatan iaitu Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM).