comscore
Tumpuan :
Nasional

JBPM terima lebih 30,000 panggilan kebakaran tahun lalu, babit kerugian RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR: Sebanyak 34,389 panggilan kebakaran diterima dan diambil tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sepanjang tahun lalu, membabitkan anggaran kerugian berjumlah RM2.6 bilion.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah kerugian itu, merupakan angka amat membimbangkan dan bukannya satu jumlah yang kecil, malah lebih besar daripada Belanjawan 2024 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Ini sebagai satu mesej kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama yang bakal balik kampung sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi, bahawa pencegahan amat penting supaya jangan tunggu sampai berlaku kebakaran.

“Oleh kerana itu kita berharap semua mengambil langkah-langkah pencegahan untuk pastikan sebelum balik rumah (kampung),” katanya menambah sepanjang Ops Tahun Baru Cina 2023, sebanyak 747 kes kebakaran direkod dan 13 peratus daripadanya merupakan kebakaran melibatkan bangunan.

Nga berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2024: Ops Siaga Raya hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.

Terdahulu, Nga dan pihak JBPM turut mengagihkan alat pemadam api kepada Pasukan Bomba Komuniti, Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan Pasukan Bomba Sukarela serta pengguna jalan raya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini