comscore
Tumpuan :
Nasional

JBPM terus tumpu pemeriksaan keselamatan inap desa, pusat penginapan 

FOTO: NSTP

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) akan terus memberi fokus terhadap pemeriksaan di inap desa dan pusat penginapan sempena Aildilfitri bagi memastikan premis berkenaan mempunyai ciri-ciri keselamatan kebakaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pemeriksaan menerusi program Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) itu antara lain berikutan trend orang ramai ketika ini yang memilih inap desa berbanding menginap di rumah keluarga semasa pulang beraya.

“Kita dah buat pemeriksaan di lebih 4,000 premis setakat ini dengan 52 notis dikeluarkan..pendekatan awal untuk periksa tempat sebegini bagi memastikan persediaan pemilik premis untuk adakan sistem keselamatan kebakaran yang paling minimum seperti disyaratkan perundangan.

“Paling asas perlu ada alat pemadam api dan kawalan kepada kunci rumah untuk memudahkan penyewa keluar jika berlaku kecemasan. Jadi rumah penginapan dan inap desa memang jadi antara sasaran utama kita untuk periksa selepas kilang yang sumbang rekod tertinggi kerugian kerana kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Negeri Sembilan dan Melaka kepada lebih 100 penerima di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka yang akan mendatangkan implikasi terutama membabitkan keanggotaan dan logistik.

“Ini antara kerisauan yang orang tak nampak, contohnya apabila anggota pergi untuk operasi kebakaran lalang dan belukar, akan ambil masa tiga ke empat jam dan dalam tempoh itu kita tak ada perlindungan kepada kebakaran struktur dalam bandar, terpaksa minta balai lain dan menyebabkan respons lambat,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Nor Hisham berkata, JBPM dalam peringkat kelulusan bagi membolehkan warganya menerima kemudahan tuntutan pampasan menerusi Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) sehingga maksimum RM25,000.

Beliau berkata pampasan itu membabitkan beberapa kategori termasuk banjir kilat, kebakaran dan rumah roboh akibat bencana iaitu sebelum ini warga JBPM hanya layak memohon pampasan untuk banjir sahaja dengan maksimum RM5,000.

“Sekarang kita di peringkat akhir dan mungkin keputusan pada Jun ini…bertujuan menjaga kebajikan pegawai dan anggota bomba..dulu bencana, ribut taufan tidak dimasukkan,” katanya sambil berharap semua pegawai dan anggota mencarum dalam tabung kebajikan, kesatuan dan koperasi bomba.

Sementara itu, beliau berkata JPBM kekurangan kira-kira 1,300 pegawai dan anggota di seluruh negara yang merupakan antara kekangan pihaknya ketika ini.

“Bagaimanapun, seramai 298 anggota dan pegawai akan masuk awal Jun ini, jumlah kesemua warga kita kira-kira 16,000 dengan 338 balai,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini