comscore
Tumpuan :
Nasional

Jemaah haji disaran ambil suntikan pneumokokal dan influenza

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) belum bercadang mewajibkan suntikan vaksin pneumokokal dan influenza kepada jemaah haji kerana ia tertakluk kepada peraturan kerajaan Arab Saudi selain perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, (KKM).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun TH tetap memberi perhatian serius terhadap penyakit radang paru-paru atau pneumonia yang sering menjangkiti jemaah haji Malaysia di tanah suci.

“Setiap tahun itulah dia penyakit yang dihadapi oleh jemaah haji, jadi dengan itu kita beri perhatian serius setiap tahun dengan satu, kita beri penerangan semasa di Malaysia, dua, kita bawa pakar respiratory, tahun ni kita bawa 5 orang pakar hanya tumpu kepada perkara ini dan ketiga, kita bawa ubat-ubat yang sesuai dengan penyakit yang dihadapi oleh jemaah haji kita.”

“Setakat ini hanya suntikan vaksin meningokokal yang diwajibkan kepada jemaah,” ujarnya sewaktu ditemui ketika menyambut ketibaan jemaah haji pertama yang mendarat di Makkah.

Menjawab soalan wartawan mengenai keadaan kesihatan jemaah haji Malaysia di tanah suci ketika ini, katanya pada masa ini hanya seramai 29 orang jemaah dirawat di pusat perubatan di Makkah dan Madinah, dan daripada jumlah itu hanya 11 orang yang dirawat akibat masalah jangkitan paru-paru.

Bagaimanapun menurut Datuk Seri Syed Saleh, keadaan jemaah adalah stabil dan tidak membimbangkan.

Penilaian awal doktor pakar di pusat rawatan Madinah mendapati kebanyakan jemaah mendapat jangkitan paru-paru disebabkan tidak mengambil suntikan pneumokokal dan influenza sebelum berlepas untuk menunaikan haji.

Justeru jemaah yang belum berlepas ke tanah suci disarankan mengambil kedua-dua suntikan ini bagi tujuan pencegahan.

Loading...
Terkini