comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jemaah haji Malaysia selamat laksana ibadah umrah pertama

Oleh Azri Mukhlas

MAKKAH: Jemaah haji Malaysia yang tiba di Makkah dari Madinah semalam, selamat melaksanakan ibadah umrah pertama awal pagi tadi.

Kumpulan ini bertolak dari hotel penginapan di Abraj Janadriyah pada pukul 10 malam waktu tempatan dan selesai melakukan ibadah umrah dua jam kemudiannya atau kira-kira jam enam pagi waktu Malaysia.

Kumpulan ini dibimbing oleh tiga orang Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci (PIHTAS) sepanjang melaksanakan ibadah tersebut.

Sebagai langkah keselamatan, Tabung Haji (TH) turut meletakkan lapan orang anggota peronda yang akan meronda sekitar kawasan Masjidil Haram, sekiranya terdapat jemaah yang tersasar atau terpisah dari kumpulan.

Sebelum bertolak, kumpulan jemaah ini turut diberikan taklimat ringkas mengenai ibadah umrah selain peringatan tentang keselamatan diri.

Terdahulu kesemua 284 jemaah haji ini selamat tiba di Makkah jam 3:30 petang semalam (8:30 malam waktu Malaysia).

Mereka dibawa ke bangunan penginapan dengan menaiki enam buah bas dari Madinah.

Ketibaan mereka disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang juga Pengarah Eksekutif Haji (TH) serta pemimpin-pemimpin Maktab.

Jemaah terbabit adalah sebahagian daripada empat KT terawal berlepas dari tanah air dan selamat tiba di Madinah sejak Ahad lalu.

Sementara itu dalam siding medianya, Datuk Seri Syed Saleh berkata terdapat beberapa jemaah haji yang mengalami dehidrasi ketika berada di Madinah ekoran cuaca panas.

“Mereka hanya mengalami dehidrasi, bukan sehingga ke tahap strok haba, apabila mereka balik ke hotel dan ke klinik, mereka telah mendapatkan rawatan dan dinasihatkan untuk berehat”, katanya kepada kumpulan media yang mengikuti rombongan TH ke Tanah Suci bagi musim haji 1444h.

Datuk Seri Syed Saleh turut mengingatkan jemaah agar minum air secukupnya dan menjaga kesihatan diri sepanjang berada di Makkah.

Bagi tahun ini, hari Wukuf dijangka jatuh pada hari Selasa, 27 Jun ini.

Loading...
Terkini