Tumpuan :
Nasional

Jemaah kurang, solat Jumaat sekali lagi diganti dengan solat Zohor

Jemaah hadir untuk menunaikan solat Jumaat walaupun solat itu tidak dapat diadakan dan terpaksa digantikan dengan solat Zohor di Masjid As Solihin Mukim Bendang Pak Yong hari ini. – Foto NSTP

TUMPAT: Solat Jumaat di Masjid As Solihin Mukim Bendang Pak Yong sekali lagi tidak dapat diadakan minggu ini kerana kekurangan jemaah susulan kejadian banjir.

Jumaat lalu, solat sama tidak dapat dilakukan kerana air melimpah masuk ke dalam masjid di paras 0.5 meter (m) sehingga merosakkan almari, manakala kitab al-Quran dan pakaian solat wakaf turut basah.

Imam Tua masjid itu, Anuar Daud, berkata setiap tahun kawasan di kampung itu terjejas akibat banjir, namun paras air tidaklah sehingga memasuki ruang dalam masjid.

“Tapi kali ini memang luar biasa dengan tiga hari air bergenang dalam ruang masjid dan keadaan teruk sebegini hanya dialami ketika banjir pada 1967.

“Untuk solat Jumaat hari ini terpaksa digantikan dengan solat Zohor memandangkan hanya kira-kira 20 jemaah yang dapat hadir disebabkan masih ramai yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya katika ditemui hari ini.

Anuar berkata, pihaknya sudah membuat persiapan awal dengan menggulung karpet namun tidak menyangka banjir yang melanda agak teruk dan memasuki hari ke-10, air masih bergenang di pekarangan masjid.

Katanya lagi, kelmarin penduduk kampung sudah mengadakan gotong-royong membersihkan bahagian dalam masjid, namun secara ala kadar sahaja memandangkan ramalan banjir yang akan berlaku dikatakan lebih besar.

“Ada juga wakil badan bukan kerajaan (NGO) akan datang membersihkan masjid ini dalam masa terdekat dan mungkin hanya membabitkan ruang luar,” katanya.

Tinjauan di Masjid As Solihin mendapati, jemaah yang datang meredah air di paras 0.7m dengan berjalan kaki dan menaiki bot.

Mamat Mokhtar Daud, 60, berkata air di rumahnya masih lagi bergenang di paras 0.5m dan dia berjalan kaki ke masjid hari ini.

“Saya dan keluarga baru saja pulang dari PPS dan tak pernah lagi mengalami banjir seburuk ini sepanjang hidup,” katanya.

Selain Kampung Bendang Pak Yong, beberapa lagi masjid kampung sekitar turut terjejas antaranya Kubang Sawa, Simpangan, Teluk Jering dan Kajang Sebidang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini