Tumpuan :
Nasional

Jemaah Menteri alumni UM disaran sumbang RM10,000 kepada UMEF – PM

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri yang merupakan alumni Universiti Malaya (UM) disaran menyumbang dana sebanyak RM10,000 untuk Tabung University Malaya Endowment Fund (UMEF).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencadangkan alumni universiti itu yang berpendapatan melebihi RM 10,000 untuk menghulurkan dana sebanyak RM 1,000 kepada tabung berkenaan.

Jelasnya usaha itu sebagai langkah untuk pembangunan masa hadapan UM tanpa memberi tekanan kewangan kepada kerajaan.

“Keseluruhan ini saya percaya kita boleh melepasi angka setengah bilion supaya tidak membebankan pemerintah dengan dana yang besar.

“Saya tidak mahu melepaskan tanggungjawab sebagai pemerintah, tetapi seperti yang kita tahu ada kekangan dan keterbatasan kerana keadaan ekonomi tidak diurus dengan bertanggungjawab.

“Negara lebih terkenal dengan kelemahan tatakelola dan rasuah sehingga beban hutang mencecah RM 1.5 trilion, pengurusan dana itu perlu lebih cekap dan sebahagian besar yang membantu mengurus rencana ekonomi itu adalah alumni UM,” katanya dalam ucapan sempena Malam Alumni Universiti Malaya: Jejak Memori.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang merupakan Canselor UM dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan mencemar duli menghadiri majlis yang diadakan julung kali dalam tempoh sedekad itu.

Dihadiri lebih dua ribu alumni termasuk Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, acara berskala besar itu bakal menjadi pemangkin hubungan yang lebih kukuh antara alumni dan universiti, mencetuskan peluang rangkaian strategik serta kolaborasi berimpak tinggi.

Ketika ini Tabung UMEF yang mensasarkan kutipan RM1 bilion berjaya mengumpulkan RM220 juta, hasil dana dalaman dan luaran.

Dana dijangka akan menjadi nadi kepada pembangunan infrastruktur moden, memperkayakan program akademik penyelidikan serta memperkukuh reputasi UM sebagai peneraju global dalam pendidikan, inovasi dan penyelidikan.

Dalam pada itu, Malam Alumni Universiti Malaya: Jejak Memori yang menggabungkan negarawan, budayawan, usahawan, dan sasterawan dalam kalangan alumni, diharap menjadi peluang untuk merapatkan hubungan sambil mengimbau kenangan di universiti.

“Kita kumpulkan semua alumni-alumni ternama, pakar-pakar industri berada bawah satu bumbung, malam ini kita mempunyai ribuan alumni yang datang menunjukkan rasa cinta dan rasa kasih terhadap alma meter mereka.

“Saya rasa perkara-perkara ini membuatkan alumni alumni UM diluar sana tahu tentang perkembangan UM, sebenarnya alumni di luar sana mahu tahu apa yang berlaku dalam UM,” kata Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UM, Prof. Dr. Yatimah Alias menyifatkan kehadiran ribuan alumni sebagai dedikasi dan komitmen dalam melakar sejarah baharu bagi Universiti Malaya.

“Kita berjumpa dengan semua alumni tak kira daripada tahun berapa, kita dapat berjumpa rakan-rakan lama jugak, kalau kita lihat generasi ini bukan hanya terkini tetapi terdahulu pun ada,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Prof. Dr. Zamri Radzi berkongsi antara aktiviti utama pada malam berskala besar itu adalah untuk menyoroti perjalanan kegemilangan universiti dan memberi penghargaan kepada individu-individu yang banyak menyumbang dalam menjadikan UM sebagai universiti penyelidikan terulung.

“Satu persatu masa lalu kita bawa kembali untuk dikenang oleh generasi yang ada sekarang ini dan menjadi satu platform untuk kita berterima kasih kepada setiap satu mereka yang telah menyusun dan memberikan segala kebesaran kepada universiti ini,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada artis terkemuka tanah air seperti Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini