comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jemaah Menteri kutuk tindakan jenayah terhadap kediaman Ahli Parlimen Beruas

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah terhadap kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak, awal pagi tadi.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Jemaah Menteri turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang termasuk dalam mengurus perbezaan pandangan.”

“Jangan sesekali cuba membuat sebarang percubaan mengapi-apikan sentimen atau menghasut rakyat untuk melanggar undang-undang terutama terhadap mereka yang berlainan pendapat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Selain itu, ujarnya, kabinet juga memberi amaran keras bahawa sebarang tindakan melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Rumah Ngeh di Lorong Semarak Jaya, Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar terbakar awal pagi tadi dipercayai akibat dibaling ‘molotov cocktail.’

Tiga buah kenderaan miliknya musnah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataannya memaklumkan, kenderaan yang terbabit ialah Mercedes, Honda CRV dan Toyota Hilux.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam mencetuskan kebakaran itu.

Beliau turut mengesahkan pihaknya menemui satu botol yang disyaki ‘molotov cocktail’ di lokasi kebakaran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) dan siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Jemaah Menteri menzahirkan penghargaan kepada JBPM yang berjaya memadam kebakaran tersebut dalam kadar segera.

Tamat.
1ST FOTO CAPTIONS: Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

Loading...
Terkini