comscore
Tumpuan :
Nasional

Jemaah Menteri tidak berhasrat kecilkan jumlah kementerian, agensi pengendali TVET

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan kekal dikendalikan oleh 12 kementerian dan agensi kerajaan. Foto hiasan

BAGAN DATUK: Kerajaan tidak berhasrat menuruti saranan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia yang mencadangkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini dikendalikan oleh 12 kementerian dan agensi kerajaan dihadkan kepada tiga sahaja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebaliknya Jemaah Menteri memutuskan supaya Majlis TVET Negara menyelaraskan aktiviti pendidikan TVET agar tidak berlaku pertindihan kursus antara 12 kementerian dan agensi terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata ketika ini terdapat 1,345 institusi TVET di seluruh negara beroperasi dengan lancar.

“Penyelarasan ini telah dilakukan dengan baik. Biarpun ada saranan agar jumlah kementerian yang terlibat ini dikurangkan, namun saya merasakan biarlah ia berjalan dengan acuan yang ada tapi diselaraskan agar tidak berlaku pertindihan antara kursus-kursus itu dan juga tidak berlaku perebutan tempat untuk masuk ke kursus-kursus tertentu.”

“Oleh sebab itu, Unit Pusat TVET telah diwujudkan untuk membuka permohonan atas talian untuk kursus-kursus yang ditawarkan oleh institusi TVET tadi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan Empat Peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) juga bertindak memastikan kursus yang ditawarkan oleh universiti-universiti teknikal relevan dengan permintaan pasaran pekerja.

“Kebolehpasaran lepasan TVET pada tahun lalu menunjukkan peningkatan iaitu 94.5 peratus berbanding 93.3 peratus pada 2022.”

“Bagi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) khususnya MARA, kebolehpasarannya turut menunjukkan peningkatan iaitu 99.2 peratus pada tahun lalu berbanding 98.5 peratus pada 2022,” katanya.

Ahmad Zahid berkata baki lepasan TVET yang tidak bekerja bukanlah kerana tidak ditawarkan pekerjaan, namun melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi dalam bidang sama.

Jelas beliau lagi, berdasarkan maklumat daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek jumlah permohonan kemasukan pelajar di Kolej Vokasional meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini.

“Ertinya TVET yang dulunya dianggap sebagai pilihan kedua, ramai ibu bapa telah menukar fikiran dan menjadikannya sebagai pilihan pertama disebabkan oleh tawaran pekerjaan yang dibuat oleh sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta.”

“Gaji yang ditawarkan pula adalah premium dan ini lebih menarik ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka masuk ke institusi TVET,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pengerusi JKPK bagi Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid bagi menyampaikan cadangan supaya bilangan kementerian dan agensi pengendali TVET dihadkan kepada tiga sahaja.

Saifuddin dipetik berkata pihaknya berpandangan jumlah untuk menjaga TVET ketika ini terlalu banyak dan mendakwa tidak semua institusi TVET menggunakan akreditasi yang ditentukan oleh Majlis TVET Negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini