Tumpuan :
Nasional

Jemaah umrah terkandas: Memorandum semua jemaah akan diserah kepada MOTAC dalam masa terdekat

Kira-kira 200 jemaah umrah yang terkandas berkumpul di Ibu Pejabat MOTAC hari ini bagi mengadakan pertemuan bersama wakil kementerian berhubung situasi dihadapi mereka.

PUTRAJAYA: Satu memorandum daripada semua jemaah umrah yang terkandas akan diserahkan kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dalam masa terdekat.

Menurut Penasihat Undang-Undang yang mewakili jemaah, Ena Awil, perkara itu dimaklumkan selepas pertemuan bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusof, hari ini.

“Hari ini kami dah berjumpa dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Datuk Mohd Yusri Mohd Yusof perbincangan apa sepatutnya kami letak dalam memorandum kami yang bakal kami serahkan kepada MOTAC.

“Ada beberapa nama agensi pelancongan untuk MOTAC ambil tindakan serius, saya ada bagi beberapa bukti pihak MOTAC jalankan siasatan dan hari ini bersama dengan saya Puan Raudah akan sediakan satu memorandum yang akan kami keluarkan beberapa hari lagi untuk makluman media,” jelasnya.

Tambah Ena, selain siasatan dijalankan pihak berkuasa, jemaah mahu nasib mereka dibela dan wang dikembalikan.

“Sekiranya selepas ini ada masalah undang-undang, Puan Raudah (peguam) akan dibantu dengan firma guaman yang sedia membantu, saya harap ramai lagi tampil membantu jemaah-jemaah ini.

“Kita tidak mahu kes ini sampai isu terkandas sahaja, kita nak kes ini sampai wang dikembalikan seperti sepatutnya sebab rata-rata jemaah pertama pergi umrah, agak terkesan,” katanya lagi.

Terdahulu, kira-kira 200 jemaah umrah yang terkandas berkumpul di Ibu Pejabat MOTAC hari ini bagi mengadakan pertemuan bersama wakil kementerian berhubung situasi dihadapi mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini