Tumpuan :
Nasional

Jenayah dalam talian: Malaysia rugi RM1.2 billion bagi tempoh Jan-Okt lalu

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika sidang media khas selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan kerugian RM1.224 bilion akibat jenayah dalam talian bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, jenayah dalam talian termasuk jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

Katanya, tahap kemudaratan dalam talian yang semakin tinggi itu diterjemahkan melalui jumlah tindakan penurunan kandungan berunsurkan scam di platform media sosial bagi tempoh 2022 hingga 1 Disember 2024 melibatkan sebanyak 62,833 kandungan.

“Dalam tempoh yang sama, jumlah penurunan kandungan berunsur pelacuran di media sosial adalah sebanyak 2,165 kandungan dan judi dalam talian sebanyak 185,858.

“Manakala penurunan kandungan berunsur lucah pula adalah sebanyak 1,947 dan daripada jumlah tersebut, 71.2 peratus atau 1,387 adalah kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak yang dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, walaupun pelbagai usaha pencegahan telah dilaksanakan, namun penipuan dalam talian masih berleluasa.

“Scammer sentiasa mengembangkan modus operandi mereka menggunakan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk menjadikan penipuan lebih canggih dan sukar dikesan.

“Mereka mahir memanipulasi psikologi manusia termasuk emosi seperti tamak, takut, marah, dahagakan kasih sayang dan ‘fear of missing out’ (FoMo) sambil menggunakan teknik kejuruteraan sosial yang semakin halus,” katanya.

Disebabkan itu juga katanya, kini adalah masa tepat untuk kerajaan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) bagi mewujudkan persekitaran menyokong pembangunan industri yang mengambil kira keperluan masa hadapan untuk mengukuhkan keselamatan, perlindungan masyarakat awam dan kanak-kanak dalam talian.

Selain itu katanya, Kementerian Komunikasi juga telah mengadakan lebih daripada 20 sesi libat urus dan konsultasi bersama pihak berkepentingan serta pemegang taruh bagi memastikan cadangan pindaan Akta 588 mengambil kira setiap aspek.

“Akta 588 (Pindaan 2024) ini bukan sekadar menawarkan reformasi kawal selia yang menyeluruh tetapi juga memberikan satu jaminan keselamatan kepada pengguna Internet Malaysia.

“Ia terutamanya dalam melindungi data dan transaksi harian daripada pelbagai kemudaratan dalam talian termasuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini