comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenayah komersial di Johor catat RM15.6 juta kerugian sepanjang Mei 2024

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar. – FOTO: PDRM Johor.

JOHOR BAHRU: Statistik jenayah komersial bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sepanjang bulan lalu merekodkan 423 kes berbanding 273 kes bagi tempoh yang sama pada 2023.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata angka terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 150 kes atau 55 peratus.

Beliau berkata, dari sudut kerugian pula jumlah keseluruhan yang dilaporkan bagi tempoh itu adalah RM15,619,283.48 berbanding RM6,886,386.77 pada tahun lalu, sekali gus merekodkan peningkatan sebanyak RM8,732,896.71 atau 127 peratus.

“Daripada 423 kes yang direkodkan bagi tempoh 1 Mei hingga 31 Mei itu, kes penipuan adalah kes yang tertinggi iaitu 373 kes atau 88 peratus.”

“Kes penipuan ini meliputi kes belian dalam talian sebanyak 101 kes, pelaburan tak wujud (65 kes), pinjaman tak wujud (45 kes), penyamaran talian atau ‘phone scam’ (42 kes), tawaran kerja (42 kes), menyamar kenalan (36 kes) dan lain-lain penipuan (42 kes),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Pada masa sama, Kumar menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang dilihat di media sosial dan secara dalam talian yang memberikan tawaran menarik dan pada harga yang rendah.

Katanya, orang ramai juga dikehendaki lebih cakna dan mengambil tahu tren semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Dapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial melalui akaun rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) @CyberCrimeAlert dan @JSJKPDRM di laman Facebook, Instagram dan TikTok,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini