comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenayah komersil catat kes, nilai kerugian ketara

Ramli bercakap ketika sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil Bukit Aman di Menara KPJ.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Menjangkau ke minggu keenam tahun 2024, sejumlah 4,741 kes jenayah komersil telah direkodkan setakat 11 Februari lalu melibatkan nilai kerugian melebihi RM555.6 juta.

Pengarah Jabatan Siastaan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara bagi tempoh sama tahun lalu.

“Berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 3,530 kes dan nilai kerugian RM181,610,712.86.

“Kadar kes bagi tahun 2024 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 34.3 peratus manakala nilai kerugian mencatatkan kadar peningkatan yang cukup besar dengan 207.6 peratus,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara berkenaan dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Katanya, perubahan senario jenayah komersil ini menuntut ketekunan dan kesungguhan pegawai JSJK untuk memberikan perkhidmatan terbaik khususnya dari aspek siasatan dan pembanterasan.

Jelas beliau, trend peningkatan kes dan nilai kerugian yang direkodkan merupakan satu cabaran kepada JSJK untuk terus melibatgandakan usaha dalam membanteras jenayah komersil.

Tambahnya, pihak polis turut menyeru penglibatan setiap lapisan masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing khususnya dalam usaha pencegahan jenayah komersil.

“Saya ingatkan kepada semua tuan-tuan dan puan-puan sebelum menagih minta polis menyiasat, kami terlebih dulu merayu tuan, puan semua jangan mudah terpedaya,” rayu beliau.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan kemajuan teknologi masa kini banyak memberi manfaat namun kemudahan itu sering kali disalah guna penjenayah bagi mencari mangsa khususnya golongan warga emas yang kurang cakna dengan isu semasa.

Katanya, orang awam diminta tidak melayan sebarang tawaran pelaburan atau panggilan telefon yang menawarkan keuntungan yang tidak masuk akal.

“Jangan angkat panggilan melainkan panggilan daripada pihak bank yang pernah berurusan ataupun daripada rujukan yang disahkan.

“Jangan dilayan terus, jangan angkat telefon, tak ada ruginya bila tidak angkat telefon, walaupun dari agensi kerajaan dan sebagainya.

“Jika mereka berkenaan mahu berurusan dengan kita biar mereka hantar notis, tidak perlu (kononnya) pegawai mereka menghubungi kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini