Tumpuan :
Nasional

Jenazah 2 beranak maut ditikam dikebumi malam ini, selesai bedah siasat

Jenazah dua beranak yang maut akibat ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 7.20 malam tadi selepas selesai menjalani proses bedah siasat.-Foto: NSTP

GEORGETOWN: Jenazah dua beranak yang maut ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini, tengah hari semalam, telah dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas proses bedah siasat selesai.

Mayat Siti Zulaila, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62 dibedah siasat sejak jam 9 pagi tadi sebelum jenazah mereka dituntut ahli keluarga jam 7.20 malam tadi.

Difahamkan jenazah dua beranak itu akan disolatkan di Masjid Tuan Guru dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kariah Tanjong Tokong selepas solat Isyak.

Terdahulu media melaporkan Siti Zulaila dan bapanya, Zulkifli maut akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan lif sebuah pangsapuri di Ayer Itam, di sini, tengah hari semalam.

Insiden itu dipercayai berpunca angkara mangsa wanita dikatakan telah menolak cinta suspek.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa baru pulang dari tempat kerjanya sebelum didatangi suspek bersenjatakan pisau dan menikam mangsa.

Bapa mangsa yang menyedari kejadian berkenaan cuba meleraikan tindakan suspek terhadap anak perempuannya namun dia juga turut ditikam.

Dua beranak itu maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah dialami mereka.

Suspek kemudian bertindak mengelar dan menikam dirinya beberapa kali sebelum dia dikejarkan ke HPP untuk rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata, suspek direman selama tujuh hari hingga 14 November (Khamis) depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, keadaan suspek berusia 32 tahun yang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) berada dalam keadaan stabil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini