Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Jenazah penyanyi era 60-an yang cukup dikenali dengan genre irama melayu asli, Allahyarham Aspalela Abdullah dijangka dibawa keluar dari Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3 petang ini.
Waris Allahyarham Aspalela, Puteri Wan Nur Izzati Azhari memaklumkan ketika ini jenazah Allahyarham masih berada di Jabatan Forensik bagi proses lanjutan.
Turut kelihatan sama saudara mara serta sahabat Allahyarham.
![](https://media.buletintv3.my/2024/12/BULETIN-TV3-N-2024-12-08T153256.589.jpg)
Difahamkan, selepas selesai di sini, jenazah dijangka dibawa ke Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati di ibu negara untuk dimandikan dan dikafankan sebelum disolatkan.
Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Ibu Kota.
Pagi tadi sekitar jam 8, waris memberitahu Allahyarham disedari terjatuh dalam bilik air, dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Waris kemudian menghubungi ambulans dan Allahyarham telah dibawa ke HKL sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Untuk makluman, Allahyarham difahamkan uzur dengan sakit tua serta lelah, namun tiada sejarah menghidap penyakit kronik.
Allahyarham Aspalela menghasilkan lima album sepanjang kerjaya seninya.
Album itu dianggap oleh Allahyarham sebagai ‘album cari makan’ kerana lagu-lagu dimuatkan di dalamnya sering dinyanyikan Aspalela dalam setiap undangan persembahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.