Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Jenazah penyanyi era 60-an, Allahyarham Aspalela Abdullah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Ibu Kota, ibu negara, petang tadi.
Pengebumian selesai kira-kira jam 6 petang tadi.
Ia dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan rapat dan sahabat bagi memberikan
penghormatan terakhir kepada penyanyi yang cukup dikenali dengan genre irama melayu asli itu.
Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati.
Solat jenazah diimamkan anak lelaki Allahyarham, Raja Iskandar Raja Ismail selepas solat Asar sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Ibu Kota untuk dikebumikan.
Difahamkan, Allahyarham Aspalela, 79 tahun menghembuskan nafas terakhir di dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari kediamannya di Taman Melati kira-kira jam 9.30 pagi.
Pagi tadi, Allahyarham yang dipercayai terjatuh, ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air oleh ahli keluarganya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.