comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenazah Awang Askandar akan dikebumi sebelah pusara ibu

KOTA KINABALU: Jenazah pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023), Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub akan dikebumi di sebelah pusara ibunya, Dayang Fatimah Awang Ampuan Jair.

Terdahulu jenazah tiba di Mas Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, 2.20 petang tadi.

Allahyarham yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah diterbangkan menggunakan pesawat Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan MH 2646.

Abang Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub, Awang Asim Ampuan Yaacub mengiring jenazah adiknya sebaik tiba dari Kuala Lumpur di MASkargo di sini pada jam 2.20 petang dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Benoni di Papar hari ini.

Ketibaan jenazah Allahyarham disambut tetamu kenamaan, pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta abang Allahyarham, Awang Asim.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed dan Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Anifah Aman.

Jenazah kemudiannya terus diusung masuk ke dalam kenderaan khas untuk dibawa pulang ke rumah keluarga Allahyarham di Kampung Benoni, Papar untuk penghormatan terakhir.

Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Jamek As Salam, Kampung Benoni dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni, bersebelahan dengan pusara ibu Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Awang Askandar selamat tiba di KLIA 7.30 pagi tadi.

Jenazah berlepas dari Lapangan Terbang Kathmandu, Nepal dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines, MH115 sekitar 11.30 malam (waktu tempatan Nepal).

Loading...
Terkini