comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah pramugari MAS dijangka tiba esok, dikebumi Jumaat

KUALA LUMPUR: Jenazah pramugari Malaysia Airlines (MAS), Norzana Hanim Hamzah yang meninggal dunia di Narita, Chiba, Jepun, Isnin lalu, bakal dibawa pulang ke Malaysia esok.

Adik wanita itu, Norzarita Hanum, 46, berkata, jenazah dan ahli keluarga yang menguruskan penghantaran pulang jasad Norzana Hanim, bakal diterbangkan dari Tokyo, pagi serta dijangka tiba Malaysia kira-kira 6 petang.

“Suami saya (Khalid Abdullah Abu Bakar, 39,) yang berada di sana memaklumkan, Alhamdulillah jenazah Kak Nim sudah dimandikan dan dikafankan, dan sekarang mereka dalam tren untuk (bawa jenazah) solat jenazah di sebuah masjid di Tokyo.

“Jika semuanya OK, mereka akan berangkat pulang pagi esok dan sampai di Malaysia kira-kira 6 petang,” katanya yang berkongsi perkembangan terbaharu itu kepada Harian Metro, petang ini.

Menurut Norzarita Hanum, suaminya yang menemani suami arwah, Rudy Tarmizi, 42, di negara berkenaan turut memaklumkan pihak berkuasa di Narita membenarkan jasad Norzana Hanim dibawa pulang tanpa melalui proses bedah siasat.

“Alhamdulillah tak perlu semua (bedah siasat)… Allah permudahkan urusan dan makbulkan doa kami untuk penuhi permintaan kakak yang tidak mahu jasadnya dibedah siasat jika berlaku apa-apa kepadanya.

“Tetapi kami dimaklumkan, jenazah perlu melalui prosedur embarkment sebelum dibawa naik kargo,” katanya.

Selain itu, katanya, mereka sekeluarga di Malaysia sudah membuat persiapan untuk menyambut dan mengebumikan jenazah kakaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka, Hulu Langat, Cheras, pada Jumaat.

“Saya baru pulang dari balai polis untuk mendapatkan permit kubur, (tapi) Alhamdulillah tidak perlu (dokumentasi lanjut) kerana semua dokumen sudah diuruskan semasa di Jepun.

“Insya-Allah jika tiada aral, jenazah Kak Nim akan dikebumikan mengikut perancangan asal, kemungkinan antara 10 hingga 11 pagi, Jumaat ini,” katanya.

Isnin lalu, media melaporkan Allahyarham Norzana Hanim ditemukan meninggal dunia di tempat penginapan kru MAS di sebuah hotel di Narita.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini