Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenazah Tan Sri Ahmad Nawab selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Jenazah maestro muzik tanahair, Tan Sri Ahmad Nawab, 92 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (Kuala Lumpur-Karak) kira-kira pukul 11.10 pagi tadi.

Pengebumian itu turut dihadiri lebih 100 ahli keluarga, kenalan rapat dan rakan selebriti yang memberikan penghormatan terakhir.

Antara rakan artis yang menziarahi jenazah termasuk penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang, Datuk ND Lala, Datuk Jamal Abdillah, komposer Azmeer, penulis lirik, Lukhman S serta penerbit filem Datuk Yusof Haslam.

Turut kelihatan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Terdahulu jenazah dimandi dan disolatkan di Surau Al-Tarbiah Al-Islamiah Taman Melewar.

Tan Sri Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 3.15 petang semalam akibat sakit tua.

Untuk rekod, Allahyarham telah menghasilkan lebih 200 album artis tempatan dan Indonesia antaranya Uji Rashid, Broery Marantika, Hetty Koes Endang, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sudirman Arshad dan Ramlah Ram.

Allahyarham juga dianugerahkan pengiktirafan sebagai Seniman Negara pada 2006 atas jasa dan sumbangannya dalam industri muzik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini