comscore
Tumpuan :
Nasional

 Jenazah wanita hamil anak kembar, suami selamat dikebumikan

Anak pasangan suami isteri yang maut kemalangan, Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, tidak dapat menahan sebak ketika berada di pusara kedua ibu bapanya selepas urusan pengebumian selesai dilakukan.-Foto: NSTP

KOTA BHARU: Jenazah wanita sedang hamil anak kembar dan suaminya yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43 Jalan Gua Musang-Lojing semalam, selamat dikebumikan pagi ini.

Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang lahad jam 9.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunjung.

Pengebumian pasangan suami isteri berkenaan diuruskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seramai 300 orang hadir pada upacara pengebumian termasuk keluarga dan kenalan Allahyarham.

Sementara itu, rintihan anak sulung pasangan terbabit mengundang kesedihan orang ramai yang turut mengalirkan air mata.

“Saya nak mama, saya nak papa.”

Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15, anak sulung daripada dua beradik tidak dapat menahan kesedihan sejurus urusan pengebumian kedua ibu bapanya, Ridwan Effendy Yusof, 43, bersama isteri, Suhana Khairuddin, 37, selesai dan terpaksa ditenangkan ahli keluarga yang lain.

Wanita hamil anak kembar, Suhana Khairuddin, 37 dan suami Ridwan Effendy Yusof, 43, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43 Jalan Gua Musang-Lojing semalam selamat dikebumikan pagi ini.-Foto: NSTP

Manakala adiknya, Akid Darwisy Ridwan Effendy, 9, kelihatan lebih tenang.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi semalam, Ridwan Effendy yang juga anggota tentera bersama isteri, Suhana yang hamil enam bulan maut di tempat kejadian, manakala dua anaknya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa dan keluarga dipercayai dari arah Ipoh menuju ke Gua Musang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum merempuh tembok longkang di tepi jalan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini