comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Jentera bomba terbabit kemalangan

Jentera bomba yang terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di susur masuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Puchong. – FOTO: Ihsan PDRM

PETALING JAYA: Jentera milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di susur masuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Puchong, hari ini.

Polis yang menerima laporan kemalangan pada jam 11.38 pagi dimaklumkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan terdiri daripada sebuah jentera bomba jenis Scania P310, Perodua Myvi dan Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, jentera terbabit dalam perjalanan menghala ke Bahagian Kejuruteraan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuala Lumpur di Bandar Kinrara untuk proses dibaik pulih.

“Kemalangan dipercayai berpunca tindakan pemandu Perodua Myvi yang keluar dari susur sebelah kiri terus masuk ke laluan jentera bomba dan berlaku pelanggaran.

“Akibat pelanggaran itu, Perodua Myvi terbabas ke tengah laluan dan melanggar sebuah Toyota Vios. Semua pemandu terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, jentera bomba itu digunakan oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

“Siasatan lanjut kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

“Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Nik Mohd Fazrin Abd Halim di talian 019-7838911 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Loading...
Terkini