LIMA: Jepun bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian membabitkan isu Laut China Selatan serta krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan dinyatakan rakan sejawatnya dari negara matahari terbit itu, Shigeru Ishiba dalam pertemuan dua hala, di sini.
“Kami bincang soal keselamatan dan jaminan keamanan Laut China Selatan dan perkembangan mutakhir Myanmar. Mereka setuju bekerjasama dengan Malaysia untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin dan menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31, di sini.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang antaranya perdagangan, peralihan tenaga, pertahanan dan keselamatan, maritim, pendidikan, budaya serta pembangunan unsur nadir bumi (REE).
Anwar turut memulakan pertemuan kira-kira setengah jam itu dengan mengucapkan tahniah atas lantikan semula Ishiba sebagai Perdana Menteri Jepun.
Selain itu, perbincangan kedua-dua pemimpin menyentuh isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk Jepun menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Saya turut mengundang Ishiba untuk mengadakan lawatan ke Malaysia sesegera mungkin.
“Saya berharap agar hubungan Malaysia dan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan serta potensi ekonomi negara,” kata Anwar.
Malaysia sedia peluang latihan AI, semikonduktor kepada rakyat Brunei
Sementara itu, di sela Sidang Kemuncak APEC, Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan membincangkan perkembangan dua hala serta meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan.
“Ini termasuk penyediaan peluang latihan di bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor bagi anak-anak Brunei (di Malaysia),” katanya.
Hong Kong jemput Malaysia pelajari teknologi pengangkutan, sertai projek pembangunan STI
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-chiu.
Perbincangan tertumpu kepada penilaian kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, pelancongan, semikonduktor, teknologi maklumat (IT), khidmat kewangan dan hubungan sesama rakyat.
“Hong Kong turut menjemput Malaysia untuk mempelajari teknologi pengangkutan dan menyertai projek pembangunan hab Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) termasuk Taman Sains yang diterajui oleh mereka,” katanya.
Perdana Menteri pada masa sama menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dan membantu pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) di Kuala Lumpur pada awal tahun depan.
Malaysia & New Zealand bincang pelaksanaan perdagangan, latihan
Tambah Anwar, perbincangan beliau dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon pula menumpukan soal pelaksanaan beberapa persetujuan dari segi perdagangan dan latihan yang telah disepakati sebelum ini.
Dalam lawatan rasmi Luxon ke Malaysia pada September lalu, beliau dilaporkan berkata, Malaysia dan New Zealand bersetuju untuk meningkatkan nilai perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus pada 2030.
Kedua-dua negara juga dilaporkan sedang bekerjasama untuk e-pensijilan dan kerjasama kastam baharu bagi memastikan aliran lancar di sempadan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.