comscore
Tumpuan :
Nasional

Jeritan cucu selamatkan warga emas dalam kebakaran rumah 

Anggota bomba memadamkan kebakaran membabitkan dua unit rumah di Kampung Gual Arang, Gual Sitok hari ini. – Foto Ihsan JBPM

RANTAU PANJANG: Seorang warga emas bersama cucunya terselamat selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Gual Arang, Gual Sitok, di sini, dalam kejadian jam 3.59 petang, hari ini.

Siti Fatimah Che Daud, 74 berkata, ketika kejadian hanya dia dan cucunya, Muhammad Naufal Basyir Mohd Fadzil berada di rumah.

“Nasib baik ada cucu berusia tujuh tahun, yang menjerit memberitahu rumah terbakar kerana saya sedang nyenyak tidur ketika kejadian berlaku,” luah Siti Fatimah.

“Kalau Basyir tidak menjerit, mungkin saya menjadi mangsa kerana api marak sangat cepat.

“Selepas keluar saya menjerit memanggil abang serta adik di rumah berasingan kerana beranggapan mereka juga sedang tidur ketika itu.

“Kemudian, saya berlari ke kediaman anak yang tinggal berdekatan untuk meminta tolong sebelum turut rebah kerana diri sendiri juga tidak begitu sihat dan uzur.

“Tiada apa yang sempat saya selamatkan termasuk dokumen penting kerana badan menjadi lemah akibat terkejut dengan apa yang terjadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dua kediaman milik Siti Fatimah dan abangnya, Che Isa Che Daud, 76, musnah hampir keseluruhan dalam kejadian itu manakala, sebuah lagi rumah milik adiknya Che Maimun Che Daud, 71, terbakar lima peratus.

Sementara itu, Che Maimun berkata, dia yang sedang tidur terjaga selepas mendengar jeritan daripada luar sebelum terkejut melihat api mula merebak di kediaman milik kakak dan abangnya.

“Saya menjerit meminta jiran membantu untuk membawa keluar suami, Yusuf Hamat, 81, yang terlantar akibat angin ahmar serta anak Nur Idayu, 31, yang juga orang kurang upaya (OKU).

“Saya bersyukur kerana rumah tidak terbakar sepenuhnya, namun sedih melihat kediaman kakak dan abang yang musnah keseluruhan.

Sementara, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata, seramai 12 pegawai dan anggota dikerah membantu memadamkan kebakaran dan berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.30 petang.

Katanya, tiada mangsa yang dilaporkan cedera dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini