comscore
Tumpuan :
Nasional

“Jika tak cukup RM100 atau RM200 juta, saya akan cari” – PM

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

AMPANG JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

Katanya, beliau akan memastikan perkara itu dapat dicapai tahun ini.

“Jika tidak cukup RM100 juta, tidak cukup RM200 juta. I don’t care. Saya akan cari.”

“Dan semua menteri, semua jabatan kerajaan mesti selesaikan masalah menoktahkan kemiskinan tegar tahun 2023.”

“Itu janji saya,” katanya pada Majlis Ceramah Jelajah Perpaduan Madani Ampang di Tapak Pasar Malam Ukay Perdana, Ampang di sini malam ini.

“Orang tanya saya, you dah pegang hampir lapan bulan, apa keutamaan?

“Jangan tanya saya untuk bina mercu tanda tertinggi, jambatan paling panjang, itu bukan kerja saya. Kerja saya yang pertama, selesaikan masalah rakyat di bawah.

“Nombor satu, orang paling miskin dalam kalangan kita. Kita ini ramai yang miskin, tetapi yang termiskin disebut miskin tegar.. kita kena selesaikan.

“Saudara ingat saya sebagai Perdana Menteri boleh tidur nyenyak dan fikir orang itu (golongan miskin tegar) terabai? Tak bolehlah,” katanya.

Turut hadir pada majlis ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail serta calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamarudin dan calon PH DUN Lembah Jaya yang juga artis rap terkenal, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.

Program yang dihadiri kira-kira 3,000 orang penyokong turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Datuk Seri Anwar berkata, beliau tidak boleh lagi melihat ada rakyat dibelenggu kemiskinan sehingga ada yang tidak mampu membeli susu untuk bayi mereka, pakaian seragam anak dan sebagainya.

“Tak boleh kita senang, makan enak dan sebagainya, dan rakyat beli susu untuk bayi tidak ada wang. Tidak boleh,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar sekali lagi mengulangi janji untuk menyelesaikan isu tandas sekolah rosak di seluruh negara melalui peruntukan RM1.4 bilion seperti diumumkannya baru-baru ini.

Loading...
Terkini