comscore
Tumpuan :
Nasional

JIM kesan 220 ‘hotspot’ warga asing

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh ketika sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di ibu negara.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengenalpasti 220 ‘hotspot’ atau lokasi panas membabitkan penempatan haram dan tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.

Semua kawasan itu akan diperiksa Jabatan Imigresen bagi membersihkan imej lokasi-lokasi yang dikuasai warga asing.

Selain lokasi panas, Jabatan Imigresen juga akan menjejaki premis perniagaan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata antara lokasi panas di ibu negara adalah di Jalan Silang dan Bukit Bintang tetapi di negeri-negeri lain turut dikesan.

Foto antara PATI yang ditahan imigresen dalam serbuan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 1 Disember 2023.

“Tumpuan kita adalah penempatan yang dikesan sama ada dibina secara haram atau di sewa selain tempat kerja dan perniagaan. Ini kerana, imigresen banyak menerima aduan penduduk atau pemimpin masyarakat yang bimbang dengan lambakan warga asing,” ujarnya ketika sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di ibu negara.

Menurut beliau lagi, semakan akan dilakukan secara berterusan kerana imigresen tidak mahu warga asing di negara  ini tinggal secara tidak sah.

“Lokasi-lokasi ini sudah dalam radar kita. Tunggu masa. Kita tidak pernah tidur. Di saat mereka tidur, kita datang. Kita tidak mahu mereka ini bebas bergerak sesuka hati sedangkan mereka lakukan kesalahan imigresen,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ruslin berkata berdasarkan statistik dalam tempoh 16 hari tahun ini, sebanyak 714 operasi dan 7,571 pemeriksaan ke atas warga asing telah dilakukan.

Hasil tindakan itu, seramai 3,261 PATI ditahan selain tangkapan 35 majikan.

Operasi berterusan tanpa henti akan dijalankan dengan kerjasama semua agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sasaran Jabatan Imigresen bukan sahaja PATI, tetapi majikan yang majoritinya warga tempatan kerana mengambil PATI sebagai pekerja.

Loading...
Terkini