comscore
Tumpuan :
Nasional

JIM sahkan notis tular kenakan penalti ke atas pengendali pengangkutan awam palsu

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (JIM) menafikan pengendali pengangkutan awam akan dikenakan penalti kerana gagal mengesahkan dokumen pengenalan diri penumpang warga asing.

Notis yang tersebar di media sosial sejak petang semalam sudah diketahui oleh pihak Imigresen dan ia disahkan palsu.

Portal FMT melaporkan, Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh memaklumkan notis itu palsu dan berkata, Jabatan Imigresen hanya mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Melayu dan bukannya dalam bahasa Inggeris.

“Maklumat ini adalah palsu dan direka oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

“Setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Imigresen adalah melalui media sosial rasmi Jabatan Imigresen saja dan jika disebarkan melalui platform komunikasi lain, ia berkemungkinan besar palsu,” katanya.

Semalam tular satu notis mengenai Imigresen yang mendakwa pengusaha bas, kereta api, transit aliran ringan dan teksi akan didenda RM35,000 dan penjara 12 bulan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen sekiranya melindungi pendatang tanpa izin.

Ia mendakwa, penumpang yang menaiki perkhidmatan itu perlu mempunyai permit atau visa pendatang asing sah.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain ketika dihubungi turut mengesahkan menerima notis berkenaan dan sudah membuat kenyataan akhbar berhubung perkara itu.

“Kami berharap notis itu adalah notis yang tidak sahih, namun sekiranya ia benar kami melahirkan rasa sedih dan kesal di atas arahan yang dikeluarkan oleh jabatan terbabit.

“Kami hanyalah pemandu perkhidmatan awam, kami tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk memeriksa apatah lagi memastikan ketulenan dokumen perjalanan warga asing yang menggunakan perkhidmatan kami,” katanya seperti dalam kenyataan itu.

Loading...
Terkini