Tumpuan :
Nasional

JIM sedia buka kaunter awal elak pelajar guna laluan haram rentas Sungai Golok

Tinjauan pelajar dari Thailand terpaksa menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia seawal jam 6.30 pagi. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia sedia untuk melaksanakan keputusan kerajaan berhubung isu pelajar merentas Sungai Golok menggunakan laluan haram untuk bersekolah di Rantau Panjang, Kelantan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tugas Imigresen meliputi pintu masuk diwartakan manakala yang tidak diwartakan di bawah bidang kuasa agensi pengawal sempadan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Penutupan pintu masuk haram berkenaan memang di bawah bidang kuasa polis, cuma lagi satu isu berbangkit adalah pelajar sekolah yang berulang-alik (merentas Sungai Golok).

“Bagi Imigresen, kami bersedia untuk melaksanakan apa sahaja keputusan kerajaan berhubung perkara ini dan apa yang dibangkitkan ialah isu pintu sempadan yang dibuka mulai 7 pagi.

“Ada yang bertanya sama ada kita akan buka lebih awal dan sebagainya, bagi Imigresen kita bersedia, tiada masalah namun bergantung keputusan pihak kerajaan,” katanya ditemui pada Majlis Sambutan Deepavali Imigresen Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.

Turut hadir, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff dan pegawai-pegawai kanan JIM.

Zakaria berkata, setakat ini kaunter-kaunter di pintu sempadan Golok-Kelantan mula beroperasi seawal 7 pagi namun ia menyukarkan pelajar untuk ke sekolah tepat pada waktunya.

Katanya, jika ada kata putus daripada pihak kerajaan dan perlu juga mengambil kira persetujuan pihak berkuasa Thailand, Imigresen sedia melaksanakan apa sahaja mekanisme yang dicadangkan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang Ahad ini dengan pelbagai pihak berkuasa berkaitan berhubung isu pelajar berkenaan termasuk membuka ICQS lebih awal daripada jam 7 pagi sekarang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini