Tumpuan :
Nasional

JIPS diarah lebih proaktif, guna dron siasat warga PDRM ‘curi tulang’

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – FOTO: NSTP

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), diarahkan untuk bertindak proaktif dalam menangani isu integriti melibatkan pegawai dan anggota agensi itu di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia termasuk penggunaan drone bagi memantau setiap pergerakan pegawai dan anggota dipercayai terlibat dalam salah guna kuasa dan culas dalam pekerjaan.

“Sekarang JIPS gunakan drone untuk menyiasat mana-mana pegawai dan anggota yang keluar ke pejabat, main golf waktu pejabat dan sebagainya.

“Pihak JIPS sendiri tangkap kalau ada salah laku mereka berfoya-foya pergi ke karaoke, berbelanja melebihi kemampuan,” katanya di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Tegasnya, sekiranya terdapat pegawai dan anggota yang didapati memiliki harta melebihi kemampuan, tindakan mengisytiharkan harta perlu dilaksanakan.

“Isytihar harta juga disemak JIPS bagi menentukan bahawa harta dimiliki itu dia memang berkemampuan, itu mustahak.

“Kalau tidak, kita akan ambil tindakan, pada awal saya jadi IGP saya dah arahkan jual harta sekiranya melebihi kemampuan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, sehingga kini JIPS berjaya menangkap dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pegawai dan anggota yang terlibat dalam isu intergriti.

Bagaimanapun beliau mengingatkan semua pegawai dan anggota agar sentiasa memastikan tatakelola baik diikuti dalam PDRM dan menjaga imej agensi itu.

“Tindakan tatatertib pihak jip lebih banyak ditangkap berbanding kes lain, kalau tangkapan SPRM lebih kurang 30, tapi tindakan pihak jip memang tinggi.

“Saya turut sarankan penyelia-penyelia dan JIPS mengambil tindakan sepenuhnya untuk menentukan polis dan masyarakat ini membantu masyarakat dan tunjukkan dan bukan melanggar undang-undang,” tegasnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini