comscore
Tumpuan :
Nasional

JKDM gagalkan 3,012 cubaan menyeludup bernilai RM303.9 juta

PUTRAJAYA: Sebanyak 3,012 cubaan penyeludupan dengan nilai cukai RM303.9 juta berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam tempoh Januari hingga Mei lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin berkata, cubaan menyeludup itu membabitkan pelbagai kes seperti dadah, rokok, minuman keras dan lain-lain komoditi.

“Sejak akhir-akhir ini, banyak isu terpalit dengan Kastam, namun ia tidak patahkan semangat dan jati diri Kastam dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Walaupun diasak bertubi-tubi, kita tetap utuh dan teguh, lagi banyak asakan, lagi kita (bertambah) kuat. Malah dalam tempoh Januari hingga Mei, Kastam berjaya membanteras 3,012 kes penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Audit Verifikasi Pematuhan (AVIP) di sini, hari ini.

Datuk Anis Rizana berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan pihaknya sebagai barisan pertahanan sempadan negara untuk memastikan hasil negara tidak tiris.

Antaranya, memperkenalkan transaksi dalam talian dan mengemaskini maklumat berkaitan dasar percukaian.

“Inisiatif lain ialah memodenkan prosedur pelepasan kastam dengan menggunakan teknologi serta inovasi seperti mesin pengimbas yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk selaraskan proses, mengurangkan kertas kerja dan percepatkan pelepasan kargo.

“Kita turut membangunkan sistem baharu seperti sistem perkastaman dan sistem dokumen sokongan import eksport bagi melancarkan pelepasan perdagangan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga meningkatkan pengurusan risiko, perkongsian maklumat perisikan dan kerjasama antarabangsa bagi melindungi keselamatan dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

Mengulas mengenai AVIP, Datuk Anis Rizana berkata, ia adalah strategi audit baharu Kastam bagi tempoh 2024-2026 yang memberi tumpuan untuk mendapatkan sebanyak mungkin entiti perniagaan khususnya yang berdaftar atau berlesen dengan Kastam berdasarkan penarafan risiko.

Jelasnya, strategi terbabit bertujuan meningkatkan tahap pematuhan entiti perniagaan dan mengesan ketidakpatuhan pada peringkat awal bagi mengurangkan risiko atau kesilapan.

“Jika tidak dibendung lebih awal akan memberi kesan ke atas liabiliti cukai yang lebih besar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini