comscore
Tumpuan :
Nasional

JKDM Kelantan kesan taktik hantar dadah guna kurier

 

FOTO: Ihsan JKDM

KOTA BHARU: Taktik pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengaburi pihak berkuasa gagal apabila dibongkar dalam operasi pada 4 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan dilakukan kira-kira 10 pagi selepas menerima maklumat awam.

Pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap dua bungkusan plastik berwarna putih di sebuah premis kurier di Rantau Panjang dan mendapati terdapat 168 biji pil kuda dan 1.49 kilogram ketulan mampat daun ganja.

“Kedua-dua barangan berkenaan bernilai RM5,853 berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut.

“Siasatan mendapati mereka menggunakan modus oeprandi membawa masuk barang dagangan menerusi pangkalan haram sebelum dihantar kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Wan Jamal berkata, pihaknya turut merampas daging khinzir sejuk beku dipercayai diseludup bernilai RM163,548 termasuk cukai di Tendong, Pasir Mas kira-kira 1 pagi pada hari sama.

Menurutnya, barangan seludup berkenaan dimuat naik ke dalam sebuah kontena di pangkalan haram Mentua, Pengkalan Kubor sebelum kenderaan terbabit ditahan di Pasir Mas.

“Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk daging khinzir sejuk beku dari negara jiran menggunakan bot atau sampan dan memuatkan di dalam lori kontena, sebelum dibawa ke Pantai Barat bagi pasaran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JKDM turut merampas isi ayam beku sebanyak 2,850 kilogram bernilai lebih RM21,000 termasuk cukai di sebuah premis di Kampung Becah Keranji, Pasir Tumbuh pada 3 Januari lalu.

“Menerusi operasi berkenaan, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 56 tahun untuk siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini