ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kota Setar sedang mencari ibu kandung atau waris kepada Muhammad Iqbal Rayyan Abdullah, kanak-kanak lelaki berusia setahun tiga bulan yang menjadi mangsa pengabaian.
Menurut kenyataan JKM, kanak-kanak itu diserahkan ke pejabat JKM oleh penjaga sementara pada 28 April tahun lalu selepas ditinggalkan oleh ibu kandungnya, Mahiran Abdul Latiff, kepada seorang lelaki dipercayai teman lelakinya sebelum menghilangkan diri.
Pada 9 Mei, Mahkamah Kanak-Kanak Alor Setar mengeluarkan Perintah Jagaan Sementara di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016), menempatkan kanak-kanak itu di Taman Sinar Harapan, Jitra.
Susulan itu, perintah interim diperoleh pada 3 Oktober untuk meletakkan kanak-kanak berkenaan di bawah penjagaan individu yang layak dan sesuai (OYLS).
JKM kini berusaha mengesan ibu kandung atau waris bagi memastikan penempatan dan penjagaan terbaik kanak-kanak itu, yang akan diputuskan oleh Mahkamah Kanak-Kanak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali ibu kandung atau waris diminta menghubungi Pelindung JKM Kota Setar di talian 04-7202370.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.