Tumpuan :
Nasional

JKM Johor kesal masih ada taska gagal patuhi Akta Taska 1984

Pengarah JKM Johor, R. Pathmanathan berkata, membuat lawatan mengejut ke beberapa taska bersama Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kanak-Kanak, Normawarni Mahat, minggu lalu.

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Johor kesal dengan tindakan sebahagian pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) yang gagal mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan mengikut dasar Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Pengarah JKM Johor, R. Pathmanathan berkata, perbuatan itu dikesan hasil lawatan mengejut ke beberapa taska bersama Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kanak-Kanak, Normawarni Mahat, minggu lalu.

“Pelaksanaan naziran itu bertujuan untuk memastikan taska beroperasi mengikut standard minimum dan garis panduan yang ditetapkan serta perkhidmatan teratur secara keseluruhan berdasarkan Akta taska 1984,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, berdasarkan lawatan itu terdapat beberapa ketidakpatuhan oleh pengurusan taska terbabit.

Antaranya, gagal mematuhi nisbah pengasuh dan kanak-kanak, dokumentasi seperti rekod kanak-kanak dan rekod kakitangan tidak diselenggara dengan baik,
pengasuh gagal menyedia dan mengemaskini Rancangan Pelaksanaan Aktiviti (RPA).

Turut dikesan nama taska pada papan tanda berbeza dengan nama yang telah didaftarkan di dalam Perakuan Pendaftaran taska dan perakuan pendaftaran taska tidak dipamerkan di tempat yang mudah dilihat disamping pengusaha gagal menyelenggara Log Pemeriksaan CCTV dan Log Pemeriksaan Pemantauan seperti mana Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di taska.

Susulan itu semua pengusaha taska berkenaan telah diberi amaran dan teguran agar segera membuat penambaikan.

Pengusaha dan kakitangan taska juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi kehendak Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

Kegagalan berbuat demikian tegasnya, boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk membatalkan pendaftaran taska terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
Loading...
Terkini