Tumpuan :
Nasional

JKM Johor laksana program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak di 32 sekolah

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor telah melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak di 32 buah sekolah di negeri itu bermula Mei hingga Oktober lalu.

Program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri itu bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan kanak-kanak, dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairina Nisa Ismail berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bagi melaksanakan latihan kepada Child Support Team Johor menggunakan modul Lindungi Permata Johor yang mula dilaksanakan sejak tahun lalu.

“Program itu bagi menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) serta Warga Emas Peringkat Negeri Johor 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Program Advokasi perlindungan kanak-kanak dilancarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani isu-isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Ia susulan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang dilaporkan semakin meningkat.

Berdasarkan statistik JKM, tahun lalu sejumlah 7,520 orang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di seluruh negara.

Program itu menjadi platform kepada masyarakat setempat khususnya guru-guru, PIBG dan komuniti setempat untuk membantu KPWKM mencegah berlakunya peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini