MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan 152 pegawai psikologi di kawasan terjejas banjir bagi membantu memulihkan emosi dan mental mangsa terlibat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, banjir yang berlaku pasti memberi kesan kepada mental dan emosi mangsa.
“Dari segi pegawai, kita ada 152 orang terlibat dalam psikososial selain 1,047 sukarelawan yang menyokong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Better Brighter Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara-TNB Hospital Melaka di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Sementara itu, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan turut menggerakkan pasukan Inisiatif Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MPHSS) bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dari segi emosi serta mental akibat Monsun Timur Laut tahun ini.
“MHPSS menjadi barisan hadapan kita (Kementerian Kesihatan) dalam memberi bantuan psikologi melalui sesi psychological first aid (PFA),” katanya.
Selain itu katanya, kementerian juga memberikan pendidikan psikologi kepada mangsa banjir.
“Di samping itu, kita juga menjalankan sesi relaksasi dan sebagainya,” katanya.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.