
KAPIT: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak diminta untuk memantau secara berterusan pergerakan tanah di lokasi tanah runtuh yang berlaku di Jalan Song-Temalat-Kanowit, Song, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan dengan segera kerana laluan itu merupakan jalan utama bagi penduduk di kawasan berkenaan.

“Kerja-kerja pembaikan juga perlu dilaksanakan segera disebabkan laluan ini merupakan antara laluan utama pengguna jalan raya di sini,” katanya di media sosial hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa laluan lencongan sementara telah disediakan untuk kenderaan kecil dan ringan.
“Saya juga telah meminta papan tanda dan arahan lalu lintas di kawasan lencongan diletakkan dengan jelas demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang terlibat dalam mengambil tindakan pantas di kawasan terkesan bencana di sini,” katanya
Kejadian tanah runtuh yang menyebabkan jalan perhubungan antara Bahagian Sibu dan Bahagian Kapit terputus itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.