Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
LUMUT: Program Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2024 yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya merapatkan ukhuwah dalam kalangan peserta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program itu bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal, tetapi juga merupakan satu usaha TNB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu masyarakat yang memerlukan.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ditemui pemberita selepas melepaskan peserta di Teluk Batik.
Katanya program berkenaan kembali diadakan selepas tergendala selama beberapa tahun akibat pandemik COVID-19.
“Hari ini yang memang ditunggu-tunggu oleh peminat pengayuh basikal yang mana sudah tergendala berapa tahun disebabkan covid dan akhirnya bermula lagi hari ini dan sambutan begitu baik sekali.
“Saya dimaklumkan hampir dua ribu yang turut serta, datang daripada seluruh Malaysia bukan dari kawasan Manjung ini… jadi syabas dan tahniah,” tambahnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Menerusi tema “Ride Together: Energy. Progress. Sustainability,” JMFR 2024 bukan hanya sekadar acara berbasikal, tetapi juga salah satu komitmen TNB dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan penggunaan tenaga bersih, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 – Kesihatan dan Kesejahteraan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.