comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Johari cadang syarikat gagal tempatkan pekerja asing didenda RM30,000 setiap pekerja

 

FOTO: NSTPOleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Syarikat yang memperolehi kuota membawa masuk pekerja asing ke negara ini namun gagal menyediakan pekerjaan kepada mereka perlu dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM30,000 setiap pekerja.

Cadangan dikemukakan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam susulan kes penipuan ejen pekerjaan di Pengerang, Johor dan telah memberikan imej negatif kepada negara.

“Saya nak cadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing datang ke negara kita dan dalam sebulan masih tak ada kerja, syarikat itu patutnya dikompaun RM20,000 seorang. Baharulah mereka tak berani nak bawa pekerja.”

“Kalau dia (syarikat) bawa datang pekerja, tunggu siapa datang baharu nak ‘supply’ (bekalkan pekerja) bermakna dia dah buat benda ini satu perniagaan, tak boleh. Pekerja asing ini untuk industri 3D (bahaya, kotor, sukar),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi, KPK di sini hari ini.

Tambahnya, cadangan kompaun itu antara lain bagi menanggung kos penghantaran pulang pekerja berkenaan ke negara asal yang sebelum ini dibiayai oleh kerajaan.

“Kalau boleh kompaun antara RM20,000 hingga RM30,000 satu orang, kalau bawa 500 pekerja, (kompaun) darab dengan 500 pekerja, kalau 1,000 pekerja darab (kompaun) dengan 1,000 pekerja.”

“Kalau (pekerja asing) tak ada kerja, kita hantar balik guna kos (kompaun) ini, kalau tidak kerajaan kena tanggung kos,” katanya.

FOTO: NSTP

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata kira-kira 2,500 pekerja asing yang ditipu syarikat serta ejen pekerjaan kini berada di daerah itu.

Ia susulan laporan media mengenai ratusan warga Bangladesh yang berjalan beramai-ramai di Pengerang selepas didakwa ditipu ejen pekerjaan.

Mengulas lanjut, pada mesyuarat jemaah menteri sama, Johari turut membangkitkan isu supaya punca kuasa pengurusan pekerja asing yang dieksploitasi perlu diselesaikan di antara Kementerian Sumber Manusia, KSM dan Kementerian Dalam Negeri, KDN.

Jelasnya, kedua-dua kementerian sedang berbincang perkara itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu ia diselesaikan segera kerana turut memberi kesan kepada kementerian lain.

“Baru-baru ini di Pengerang, (pekerja asing) beratur panjang, mereka pergi ke balai polis buat ‘report’ (laporan) sebab tak ada kerja, sedangkan banyak ladang kita memerlukan ramai pekerja asing.”

“Ini adalah kerana banyak isu yang bersangkut paut antara kementerian. Contohnya, Jabatan Imigresen (bawah KDN) menjalankan penguatkuasaaan. Kalau dia tengok pekerja itu datang dengan permit sah dan ada pasport, dia tak boleh buat apa.”

“Kemudian KSM mengeluarkan kuota untuk bagi kepada industri yang minta pekerja, maka dapat kuota katakan 500 atau 1,000 pekerja, mereka bawa masuk ke Malaysia dan kemudian sudah sampai (di sini), tak ada kerja.”

“Apabila tak ada kerja, KSM ingin pindah kuota itu kepada syarikat lain, tak boleh, sebab mereka tak ada punca kuasa,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata KDN dan KSM komited dalam usaha menambah baik aspek pengurusan pekerja asing di negara ini termasuk kes eksploitasi pekerja asing.

Ujarnya, isu melibatkan ruang lingkup bersama kedua-dua kementerian itu dibincangkan ketika pertemuannya dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Loading...
Terkini