comscore
Tumpuan :
Nasional

 Johor akan sediakan pusat transit gelandangan dalam masa terdekat

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor sedang menimbang cadangan menyediakan sebuah pusat transit khusus untuk golongan gelandangan seperti yang dilakukan oleh Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Exco Perumahan dan kerajaan tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Mohd Shukor berkata, antaranya cadangan berkenaan membaik pulih sebuah dewan milik MBJB untuk dijadikan pusat transit gelandangan namun ia bukan bertaraf kekal.

Bangunan berkenaan akan dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk bilik mandi, bilik tidur seperti dorm untuk gelandangan tinggal pada masa yang ditetapkan dan perlu keluar mencari rezeki tanpa meninggalkan barangan mereka di pusat transit berkenaan.

“Gelandangan bukan isu baru di Johor Bahru justeru kerajaan negeri  perlu perancangan teliti dan tegas dalam membantu golongan berkenaan.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menyediakan Zon Johor Bersih dalam masa yang sama akan dimulakan Zon Sifar Gelandangan” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai operasi gelandangan di pusat bandaraya Johor Bahru bersama beberapa anggota Exco yang lain malam tadi.

Katanya, operasi gelandangan akan diadakan setiap minggu bagi memantau golongan berkenaan sekaligus membolehkan kerajaan negeri membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Hasil kajian yang dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terdapat pelbagai sebab seorang individu menjadi gelandangan.

Jumlah gelandangan di bandaraya Johor Bahru meningkat secara mendadak selepas negara dilanda pendemik Covid-19 kerana ramai yang kehilangan pekerjaan termasuk yang bekerja di Singapura selepas sempadan negara ditutup.

Golongan gelandangan pernah ditempatkan di Kem Wawasan Negara, Gunung Pulai, Insititut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan di Kulai, dalam usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 daripada menular.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini