comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor berjaga-jaga peningkatan COVID-19 Singapura

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes COVID-19 di negara jiran Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kes COVID-19 dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih digunapakai.

Katanya setakat ini tiada keperluan untuk pihaknya meminta SOP baharu COVID-19, memandangkan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini tidak ketara.

Jelas Tian Soon, langkah pencegahan terbaik khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas ataupun sakit kronik ialah dengan memakai pelitup muka.

“Jika hendak pergi ke tempat berisiko, galakkan pakai pelitup muka, kita masih amalkan SOP yang sama. Kalau ada keperluan contoh selsema, batuk dan demam digalakkan pakai pelitup muka dan tidak ke tempat tertutup dan ramai orang,” katanya ketika mengulas langkah kerajaan negeri menghadapi peningkatan kes COVID-19 di Singapura.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Wesak di Tokong Fo Guang Shan di Taman Uda Utama di sini, hari ini.

Menurut Tian Soon, pihaknya juga tidak menerima aduan kekurangan test kit COVID-19 di semua fasiliti berkaitan.

Jelas Tian Soon, jika wujud keperluan, pihak KKM akan mengeluarkan SOP baharu.

Ini termasuk bagi rentas sempadan negara.

Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan negara itu sedang mengalami gelombang baharu COVID-19, dengan peningkatan kes jangkitan pada dua minggu lepas.

Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung dipetik sebagai berkata gelombang itu akan meningkat dalam dua hingga empat minggu akan datang.

Memetik laporan media tempatan di Singapura, Kementerian Kesihatan Singapura menganggarkan jumlah kes COVID-19 pada 5 hingga 11 Mei meningkat kepada 25,900 kes berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini