comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor catat pelaburan diluluskan RM10.6 bilion suku pertama 2023

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Johor berjaya mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM10.6 bilion untuk suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengumumkan perkara itu, beliau berkata pencapaian itu amat membanggakan seluruh Bangsa Johor dengan peningkatan tiga kali ganda berbanding suku pertama tahun lalu berjumlah RM3.2 bilion bagi jumlah pelaburan yang diluluskan.

“Insya-Allah, kerajaan negeri yakin Johor berada di landasan yang tepat untuk mengulangi pencapaian tahun 2022 iaitu menjadi negeri yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi negara berjumlah RM70.6 bilion.

“Keyakinan pelabur memilih Johor sebagai destinasi pilihan mereka akan membolehkan hasrat kita untuk menjadikan negeri Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 akan tercapai. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, lewat petang semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap turut berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Lee Ting Han serta semua pihak dan agensi berkaitan selain menyeru agar mereka terus sama-sama berganding bahu untuk mengulangi kejayaan tahun lalu.

Loading...
Terkini