comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor harap pembinaan HSA2 jadi kenyataan di bawah Kerajaan Perpaduan

Ling Tian Soon ketika menjawab soalan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini. – FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor berharap Kerajaan Perpaduan mempertimbangkan semula pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) ekoran kadar pesakit di 2 hospital sedia ada sudah mencapai lebih 80 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata kepadatan penduduk di Johor Bahru yang tinggi juga menyebabkan menjadi keperluan hospital awam ketiga dibina.

Katanya, kadar pesakit di dua hospital sedia ada di Johor Bahru membabitkan HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI) kini mencapai lebih 80 peratus dengan kadar penggunaan katil kian meningkat.

FOTO: NSTP

“Kerajaan dan Bangsa Johor amat berharap supaya HSA2 dipertimbangkan semula pembinaannya.

“Ia berikutan dua hospital awam di kawasan selatan Johor Bahru sudah hampir mencapai kapasiti penggunaanya dengan kadar pesakit yang semakin meningkat.

“Namun malangnya, Belanjawan 2023 yang ketika itu dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Oktober lalu tidak menyenaraikan HSA2 sebagai antara projek pembangunan yang akan dilaksanakan.

“Besar harapan kerajaan dan Bangsa Johor supaya Kerajaan Perpaduan serta Menteri Kesihatan, Dr Zalifa Mustafa, yang juga Ahli Parlimen dari Johor supaya permohonan pembinaan hospital baharu, HSA2 dapat dilaksanakan sekali gus dibentangkan dalam Belanjawan 2023 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.

Jun lalu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, dilaporkan berkata HSA2 dijangka akan mula dibina pada 2024, jika ia diluluskan kerajaan dan dibentangkan dalam Belanjawan 2023.

Tian Soon, dilaporkan berkata, pembinaan hospital baharu, HSA2 itu dijangka dapat mengatasi isu kesesakan dua hospital sedia ada iaitu HSA dan HSI.

Lokasi HSA2 adalah di Kempas dengan lot tanah dilaporkan sudah dikenal pasti, malah Kementerian Kesihatan (KKM) juga sudah membayar premium tanah seluas 207.5 hektar bagi pembinaan hospital itu.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, antara faktor yang dipercayai menjadi punca pembinaan HSA2 tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2023 berikutan isu setinggan di tapak projek itu di Kempas.

“Setinggan di tapak HSA2 masih belum dikosongkan sepenuhnya, namun kita yakin ia dapat diatasi tidak lama lagi apatah lagi premium tanah tapak berkenaan sudah dibayar KKM.

“Apatah lagi masih terdapat lebihan tanah di sebelah tapak cadangan HSA2 itu yang boleh dilaksanakan dahulu kerja awal antara JKR dan KKM termasuk kerja reka bentuk,” katanya.

Loading...
Terkini