Tumpuan :
Nasional

Johor kembali dilanda banjir selepas Kelantan, Terengganu

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Selepas Kelantan dan Terengganu, Johor kini mencatatkan kes baharu banjir dengan 13 mangsa mula dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan hujan lebat petang tadi.

Setakat jam 6 petang, tiga negeri terbabit merekodkan seramai 637 mangsa banjir yang kini ditempatkan di 12 PPS melibatkan 195 keluarga, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Di Johor, hujan lebat menyebabkan banjir di daerah Kota Tinggi dengan 13 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke satu PPS.

Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 573 individu dari dua daerah terjejas, iaitu Tanah Merah (571 mangsa) dan Kuala Krai (2 mangsa). Seramai 177 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di Tanah Merah, manakala satu keluarga di Kuala Krai.

Terengganu pula merekodkan 51 mangsa daripada 13 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Besut.

Keadaan di Kelantan dan Terengganu menunjukkan trend pemulihan dengan jumlah mangsa di PPS berkurangan, namun situasi di Johor memerlukan pemantauan rapi ekoran perubahan cuaca yang tidak menentu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini