comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor letak jurubahasa isyarat untuk solat Jumaat

FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan memperkenalkan jurubahasa isyarat masjid bagi membolehkan golongan orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu memahami isi kandungan khutbah solat Jumaat, di negeri berkenaan.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, inisiatif itu bagi membolehkan OKU pekak dan bisu memenuhi syarat sah solat Jumaat.

“Pada peringkat awal ini, kita akan kenal pasti sebuah masjid di setiap 10 daerah negeri ini bagi diletakkan jurubahasa isyarat masjid khusus untuk solat Jumaat, mulai awal Ramadan ini.

“Jika tidak dapat diletakkan jurubahasa isyarat secara langsung pada setiap solat Jumaat, kita akan buat rakaman awal khutbah bahasa isyarat bagi ditayangkan pada solat Jumaat di masjid yang mempunyai kemudahan layar skrin putih dan televisyen pintar.

“Selain itu, tempat solat khas OKU pekak dan bisu juga akan diletakkan berhampiran kedudukan jurubahasa isyarat, layar putih atau televisyen pintar. Begitu juga dengan kemudahan seperti tempat letak kenderaan dan tandas khas untuk OKU,” katanya pada sidang media selepas Majlis Khatam al-Quran Tadika Agama Johor (TAJ) ke-13, hari ini.

Mengulas lanjut, inisiatif kerajaan Johor meletakkan jurubahasa isyarat itu sebagai langkah tidak meminggirkan golongan OKU pekak dan bisu negeri itu.

Katanya, ia berikutan syarat sah Solat Jumaat adalah mendengar khutbah dan sebagai kerajaan bertanggungjawab keperluan buat semua golongan masyarakat harus dipenuhi.

“Dalam masa terdekat, percubaan bagi kaedah jurubahasa isyarat atau rakaman khutbah Jumaat menggunakan bahasa isyarat akan dilaksanakan di beberapa masjid dikenal pasti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini