comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor pastikan masalah bekalan air ketika perayaan tidak berulang

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.- Foto fail

KLUANG: Kerajaan Johor akan memastikan masalah “tidak cukup” air yang berlaku di negeri ini terutamanya ketika musim perayaan tidak lagi berulang dengan merangka beberapa langkah penyelesaian.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata walaupun masalah bekalan utiliti berkenaan yang berlaku pada Aidilfitri lepas tidak seburuk tahun lepas, ia tetap mengganggu kelancaran lebaran bagi mereka yang terlibat.

Beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha memastikan sifar masalah bekalan air pada hari raya tahun hadapan dengan beberapa langkah telah diambil termasuk menambah baik sistem yang ada.

“Saya dengar antara kawasan yang teruk mengalami masalah air ialah daerah Kluang, hampir dua minggu ketika raya berhadapan dengan masalah air, setiap masa saya rasa risau dan kalau boleh masalah ini selesai segera.

“Untuk mengatasi masalah ini, saya bukan sahaja berbincang dengan Ahli Majis Mesyuarat Kerajaan negeri tetapi juga dengan orang yang berpengalaman seperti Datuk Seri Hasni Mohamad (Ahli Parlimen Simpang Renggam) dan beberapa yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Simpang Renggam di Pusat Perdagangan Majlis Daerah Simpang Renggam, dekat sini, hari ini.

Selain masalah bekalan air, Onn Hafiz berkata pentadbirannya akan cuba mengatasi masalah banjir yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.

Beliau berkata beberapa langkah telah diambil dan dilaksanakan secara berperingkat antaranya membina projek tebatan banjir di empangan.

“Kita tidak mahu setiap kali datangnya musim hujan atau tengkujuh, banjir berlaku sekali gus menyebabkan rakyat di negeri ini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini